Friday, December 13, 2019
updated 1:02 PM UTC, Dec 13, 2019

AS senarai negara manipulator matawang, tonjol kekukuhan dan daya saing ekonomi Malaysia

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Kemasukan Malaysia dalam senarai pemantauan negara manipulator mata wang oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat hanya menonjolkan kekukuhan dan daya saing ekonomi Malaysia yang tinggi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media berkata, walaupun Malaysia disenarai dalam pemantauan negara manipulator matawang tetapi laporan itu tidak menamakan Malaysia sebagai sebuah negara manipulator matawang.

Kemasukan Malaysia dalam senarai tersebut bersama dengan negara-negara pedagang utama dunia lain iaitu Jepun, Korea Selatan dan Singapura menonjolkan kekukuhan negara serta peranan yang dimainkan Malaysia dalam ekonomi dunia.

Mana-mana negara yang mempunyai jumlah dagangan melebihi 40 bilion dolar setahun dengan Amerika Syarikat akan diperiksa oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat untuk penelitian lanjut.

Malaysia dimasukkan ke dalam senarai itu atas dua faktor iaitu pertama, Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan Amerika melebihi 20 bilion dolar setahun dan kedua negara mempunyai lebihan akaun semasa yang sihat melebihi 2 peratus berbanding KDNK.

Menurut Lim, kedua-dua faktor itu menonjolkan daya saing ekonomi Malaysia dengan kedudukan baik di indeks negara mesra perniagaan dan ranking negara paling kompetetif dunia.