Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:34 PM UTC, Jun 24, 2018

Sarawak Berpotensi Besar Pengeluar Nanas Negara

  • Published in Ekonomi
Gambar Hiasan

BAU - Sarawak mempunyai potensi besar sebagai pengeluar nanas negara, sehubungan itu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sebagai agensi peneraju utama pembangunan industri nanas sedang giat mempromosikan tanaman itu di negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata LPNM yang mula beroperasi di negeri Sarawak pada tahun 2010 telah memberi bantuan kepada kira-kira 600 penanam  nanas di seluruh negeri ini sehingga penghujung tahun 2017 dengan keluasan tanaman 800 hektar.

Menurut beliau, kerajaan telah mengenal pasti nanas sebagai satu sumber kekayaan baharu yang apabila diusahakan secara serius dan bersungguh-sungguh serta penuh komitmen mampu meraih pulangan yang sangat memuaskan.

Nanas merupakan tanaman yang sangat berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber pendapatan yang lumayan.

Seramai 10 peserta menerima bantuan berkenaan yang masing-masing bernilai RM5,500 seorang merangkumi bantuan benih, racun, baja dan hormon.

Datuk Anthony Nogeh berkata bagi tahun 2018 LPNM menyasarkan  pertambahan kawasan baharu sejumlah 80 hektar di Sarawak.

Selain penanaman nanas Moris (Sarikei) dan nanas N36 yang terus mendapat permintaan yang tinggi, LPNM sedang giat mempromosikan penanaman nanas premium MD2 untuk tujuan eksport memandangkan ia mendapat permintaan sangat tinggi di pasaran dunia termasuk di China.

Katanya, projek perintis  penanaman nanas premium MD2 seluas lapan hektar telah dilaksanakan di Kampung Padang Pan, Bau dan akan dikembangkan ke kawasan lain setelah menghasilkan bibit yang mencukupi kelak.

((BERNAMA))