Saturday, February 24, 2018
vital-top
updated 7:45 AM UTC, Feb 24, 2018

SME BANK Y-Biz Challenge 2018 Buka Penyertaan Dalam Talian

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 kali ini membuka penyertaan secara dalam talian sebagai langkah untuk mendigitalkan pertandingan itu dan memudahkan para pelajar, guru dan pihak sekolah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program cabaran anjuran SME Bank ini telah dibuka penyertaannya bermula 15 Dis 2017 dan setakat ini ia telah menerima sebanyak 118 penyertaan berbanding tahun lalu dan 50 peratus daripadanya adalah penyertaan baharu.

Bermula dari tahun 2012 diadakan sehingga 2016, SME Bank Y-Biz Challenge telah berjaya menarik penyertaan daripada 409 buah sekolah yang melibatkan 1,344 orang pelajar dan 424 orang guru.

Kualiti penyertaan terus meningkat dan sekolah-sekolah yang terlibat telah mula mengorak langkah memasarkan produk-produk yang dicipta

Ketua Pegawai Operasi, Operasi dan Pengurusan Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Razman Mohd Noor di dalam kenyataan berkata pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM91,000 manakala juara pertandingan juga menerima hadiah khas tiket penerbangan berjumlah RM 25,000 bagi menyertai pertandingan di luar negara.

Pertandingan anjuran SME Bank dengan kerjasama Bahagian Ko-kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini terbuka kepada semua sekolah menengah di bawah KPM.

Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed Selasa.

((SUMBER:BERNAMA))