Wednesday, October 18, 2017
vital-top
updated 3:22 AM UTC, Oct 18, 2017

Ekonomi Digital Bakal Jadi Pemacu Pertumbuhan Yang Terpenting

KUALA LUMPUR - Ekonomi digital bakal menjadi pemacu pertumbuhan terpenting bagi ekonomi negara dalam tempoh terdekat.

Untuk itu, Bajet 2018 diramal menumpukan usaha bagi menggalakkan ekonomi digital khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana, PKS serta syarikat swasta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood ekosistem spesifik bagi pertumbuhan Ekonomi Digital yang mampan perlu bagi terus menyokong transformasi industri itu.

Ini termasuk Big Data Analytics (BDA), Internet of Things (IoT), Teknologi Kreatif, eDagang serta Perkhidmatan dan Kandungan Awan.

Ledakan revolusi teknologi akan memberi impak yang drastik dan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya diuruskan dengan baik.

Menyedari hakikat itu, kerajaan katanya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan Malaysia dapat mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan teknologi.

Pelbagai pendekatan proaktif telah dan sedang diambil oleh MDEC, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), dan ASEAN Data Analytics Exchange (ADAX).

Antaranya memorandum persefahaman dengan institusi pengajian tinggi serta program jangka pendek dengan pemain industri seperti program Data Star.

Usaha tersebut boleh menjamin pembangunan sektor digital negara mencapai potensi yang maksimum pada masa akan datang.

(Sumber - Dalet Beritartm)

  • Jumlah paparan: 36