Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Operasi persekolahan di Johor dan Terengganu ikut ketetapan Fasa 4 PPN bermula 7 November

  • Published in Covid19

PUTRAJAYA, 24 Oktober - Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri Johor dan Terengganu akan bermula dengan mengikut ketetapan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 7 November ini.

Pengoperasian itu akan melibatkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga) sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat sekolah menengah.

Bagaimanapun berikutan 7 November adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali, sekolah kerajaan di kedua-dua negeri hanya akan memulakan operasinya pada 8 November.

Kehadiran murid Tahap Dua (Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sekolah menengah bagi kedua-dua negeri itu pula akan bermula pada 14 November.

Kenyataan KPM itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai peralihan Fasa PPN bagi Johor dan Terengganu ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa esok.

Pada masa ini, pengoperasian institusi pendidikan di Johor dan Terengganu adalah berdasarkan ketetapan Fasa Tiga PPN sehinggalah ia beralih kepada fasa seterusnya pada 7 November.