Saturday, 4 December 2021

updated 5:48 AM UTC, Dec 4, 2021

Imunisasi terbukti berkesan bendung penularan wabak penyakit di kalangan bayi dan kanak-kanak

  • Published in Covid19

KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Imunisasi terbukti berkesan membendung penularan wabak penyakit di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Namun, sikap degil segelintir ibu bapa yang menolak suntikan vaksin, menjadikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedaya-upaya memberi kesedaran pentingnya vaksinasi selaras Pelan Imunisasi Kebangsaan.

Sejak diperkenal kerajaan pada tahun 1950, Pelan Imunisasi Kebangsaan berjaya menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak setiap tahun.

Malah, disebabkan pelaksanaan program ini, Malaysia telah diisytihar sebagai negara bebas polio oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2010.

Kini, wujud trend ada ibu bapa enggan membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Jangan ambil enteng soal imunisasi kerana keengganan berbuat demikian memberi kesan besar kepada kanak-kanak kerana mereka sememangnya berdepan ancaman penyakit berjangkit.

Golongan ini berisiko kerana sistem imun mereka yang masih rendah berbanding individu dewasa.

Pengetahuan, sikap peka dan persediaan ibu bapalah yang menjadi penentu utama tahap kesihatan anak pada masa hadapan.

Jika musykil, takut atau ragu-ragu, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan yang diiktiraf.