Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Antivaksin: 'Kesukaran' berpunca sikap sendiri

  • Published in Covid19

BERA, 17 Oktober - Kerajaan tidak akan secara sengaja menyukarkan kehidupan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19, tetapi perkara itu berpunca sikap mereka sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun suntikan vaksin tidak diwajibkan buat masa ini, namun membantu mereka yang menerimanya untuk menjalani kehidupan lebih mudah, menerusi pelbagai kelonggaran yang diberikan termasuk kebenaran merentas negeri.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan untuk 'menyusahkan' hidup kumpulan antivaksin supaya mereka berterusan tidak dibenarkan menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, hari ini.