Saturday, 4 December 2021

updated 5:48 AM UTC, Dec 4, 2021

Warga pendidik disaran segera dapatkan vaksin COVID-19 - PM

  • Published in Covid19

BERA, 17 Oktober - Warga pendidik disaran segera mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebagai perlindungan diri serta pelajar sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun belum lagi diwajibkan kepada guru, namun kumpulan itu bertanggungjawab mengurangkan risiko penularan jangkitan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas.

Katanya, para guru seharusnya akur dengan arahan Kementerian Pendidikan bahawa setiap mereka, perlu melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19 sebelum sesi bersemuka dengan pelajar.

Datuk Seri Ismail Sabri turut menyatakan, sekiranya belum mendapat vaksinasi, golongan itu tidak akan dapat menikmati keistimewaan yang diberikan kepada individu yang telah divaksinasi.

Justeru, beliau meminta warga pendidik dan individu lain yang belum mendapatkan suntikan vaksin, agar segera berbuat demikian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Peranti Komputer Program Cerdik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada pelajar Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32.