Tuesday, 26 October 2021

updated 12:33 PM UTC, Oct 26, 2021

Kerajaan Sabah benarkan rentas daerah bermula esok, rentas negeri 1 November

  • Published in Covid19

KOTA KINABALU, 13 Oktober - Kerajaan negeri Sabah membenarkan rentas daerah di seluruh negeri itu bermula esok manakala kebenaran rentas negeri, bermula 1 November depan.

Keputusan dibuat selepas berpuas hati dengan laporan vaksinasi lengkap negeri berkenaan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 yang melebihi 70 peratus, setakat Isnin lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan memaklumkan, bagi rentas daerah, kebenaran hanya diberi kepada individu yang telah lengkap divaksinasi dan remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun pula perlu ditemani ibu bapa yang telah lengkap vaksinasi.

Bagi kebenaran rentas negeri, kemasukan ke Sabah meliputi lawatan sosial dan pelancongan dibenarkan dengan syarat sama seperti kebenaran rentas daerah.

Bagaimanapun, individu terlibat perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-antibodi dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.