Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

PIKAS berjaya turunkan trend jangkitan COVID-19 dalam sektor perindustrian di Negeri Sembilan

  • Published in Covid19

SEREMBAN, 14 September - Trend jangkitan COVID-19 dalam sektor perindustrian di Negeri Sembilan semakin berkurang berikutan hampir keseluruhan pekerja sektor berkenaan telah divaksin.

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek, antara faktor yang menyumbang kepada penurunan itu adalah tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) para pekerja dilaksana secara ketat.

Juga saringan ujian COVID-19 yang diadakan secara berkala.

Selain itu, peningkatan program pemvaksinan sektor industri juga berjaya mengurangkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja industri.

Seramai 61,105 pekerja sektor perindustrian di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19 melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 Awam-Swasta (PIKAS).

PPV PIKAS d'Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lalu sehingga Ahad memberi 41,106 suntikan dos pertama dan 38,546 suntikan dos kedua.

Manakala PPV PIKAS D'Cattleya, Senawang yang mula beroperasi pada 2 Ogos pula memberi suntikan dos pertama kepada 19,999 pekerja setakat Ahad dan 15,415 untuk dos kedua.