Friday, 24 September 2021

updated 9:13 AM UTC, Sep 24, 2021

Kes harian dijangka menurun pada pertengahan Ogos

  • Published in Covid19

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Kes COVID-19 harian mungkin akan menunjukkan trend menurun pada pertengahan bulan ini apabila kadar vaksinasi di Lembah Klang meningkat.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada langkah-langkah diambil kerajaan bagi membendung pandemik berkenaan selain mengambil kira peningkatan program vaksinasi nasional.

Jelas beliau, kadar vaksinasi negara berjalan dengan sangat baik bagaimanapun perjalanan masih jauh.

Mengulas mengenai ramalan berdasarkan dua faktor itu ujarnya, mungkin ada penurunan pada pertengahan bulan ini, tetapi keadaan mungkin akan menjadi bertambah buruk sebelum pertengahan bulan.

Ujar beliau, bukti terbaru mengenai tahap penularan varian Delta masih boleh melambatkan trend menurun.

Bagaimanapun, apabila lebih ramai orang divaksin, diharapkan kadar kemasukan ke hospital dan kadar kematian akan berkurangan.

Menurutnya, semua pihak perlu bertahan melakukan yang termampu bagi membantu keluarga serta satu sama lain, selain membantu barisan hadapan.

Tegas Datuk Dr Chong, cara terbaik adalah dengan mendapatkan vaksin di samping terus mematuhi langkah-langkah kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.