10 Plaza Tol Telah Beralih Kepada Sistem Tol Elektronik

Kuala Lumpur - 92 peratus daripada pengguna jalan raya di laluan melibatkan 10 plaza tol, telah beralih kepada sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya, yang berkuat kuasa hari ini.

Perkembangan itu cukup positif, sejajar sasaran menjadikan kesemua 21 lebuh raya di Lembah Klang melaksana sepenuhnya sistem tersebut akhir tahun ini.

Ia melibatkan empat lebuh raya iaitu MEX, Lebuhraya Baru Pantai N-P-E, Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (L-K-S-A).

17 kaunter khidmat pelanggan dibuka syarikat konsesi terlibat, yang beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam pada hari bekerja, bagi menampung keperluan pengguna.

12 lorong tambah nilai yang beroperasi 24 jam turut disediakan.

Plaza-plaza tol terlibat termasuk tiga plaza tol di Lebuhraya MEX iaitu Plaza Tol Salak Selatan, Putrajaya dan Seri Kembangan.

Bagi Lebuhraya N-P-E, ia melibatkan Plaza Tol PJS2, PJS5 dan Pantai Dalam.

Dua plaza tol di Lebuhraya Grandsaga pula ialah di Batu 9 dan Batu 11, manakala dua lagi plaza tol di Lebuhraya LKSA ialah Plaza Tol Seri Muda dan Alam Impian, yang mendapat pelbagi reaksi pengguna.

Syarikat konsesi turut memberi rebat 10 peratus kepada pengguna untuk tempoh 2 bulan daripada tarikh kuatkuasa hari ini, di plaza-plaza tol terlibat.##