Lelaki Kurang Siuman Dipercayai Lemas Di Jeti Bagan Datoh

Ipoh -  Seorang lelaki dipercayai kurang siuman dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sebuah jeti di Bagan Datoh, kira-kira 130km dari sini.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata mangsa Mohd Fairul Nizam Ahmad, 37, dari Selekoh, Bagan Datoh dipercayai terjatuh dari jeti tersebut kita-kira pukul 8.50 malam.

"JPAM merima panggilan daripada seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) pada 9.10 malam sebelum mereka tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian bersama seorang pegawai dan tiga anggota.

"Di tempat kejadian juga, terdapat sepasang selipar coklat muda di atas tangga jeti tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat melibabtkan pasukan polis, Rela, JPAM dan nelayan di kawasan itu akan bermula seawal pukul 8 pagi esok.