Bauksit : Kerja Pembersihan Bermula

Kuala Lumpur - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan diarah menjalankan kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang .     
 
Arahan dikeluarkan  Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat k abinet .

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Menteri Bertanggungjawab, Datuk Abdul Rahman Dahlan memaklumkan perkara tersebut.
 
Keputusan itu memandangkan Datuk Seri Najib menyedari keluhan serta aduan diterima daripada penduduk tempatan yang terjejas akibat kegiatan perlombongan bauksit.

Perdana Menteri mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyegerakan kerja pembersihan bagi memastikan kawasan terjejas pulih.

Seramai 21 anggota bomba dari empat balai dan tujuh jentera berkuasa besar terbabit dalam kerja pembersihan papan tanda, papan tunjuk arah, tiang lampu dan pencucian permukaan jalan terutama di jalan raya yang terjejas teruk, bermula hari ini.

Antara kawasan teruk terjejas adalah Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Bukit Goh, Jalan Bukit Kuantan, Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan Bypass, Jalan Gebeng Bypass, Jalan Jerangau Jabor dan Jalan Bukit Sagu-Cherul .