Sedia Hadapi Kejatuhan Ekonomi Dunia - MB Perlis

KangarĀ - Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man meminta penduduk negeri ini bersedia menerima realiti kejatuhan ekonomi dunia dan kesannya terhadap negara.

Katanya dalam situasi itu kerajaan terpaksa mengambil langkah berjimat-cermat termasuk memotong belanjawan untuk tahun ini.

"Dalam hubungan ini, peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) untuk Perlis mungkin dipotong dan projek pembangunan Lembah Chuping tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Kerajaan tidak melepaskan tanggungjawab, cuma membuat perubahan untuk disesuaikan dengan hasil negara yang susut di samping menangani kesan kejatuhan ekonomi sehingga mencapai tahap minima," kata Azlan.

Menteri Besar itu berucap pada majlis santai kepimpinan negeri bersama ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan dan negeri di Dewan Residensi di sini, malam tadi.

Beliau berkata kerajaan pusat telah meluluskan RM2.75 bilion kepada Perlis di bawah RMK11 dan daripada jumlah itu RM854 juta untuk membangunkan Lembah Chuping menjadi taman industri teknologi hijau berimpak tinggi.

Pada masa sama, Azlan berharap ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan dan negeri dapat bekerjasama erat bagi menjayakan agenda pembangunan Perlis agar perancangan yang dibuat berjalan lancar.

Azlan berkata dalam RMK11 kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap projek mega berimpak tinggi yang memberi pekerjaan dan pendapatan jangka masa panjang.