UniMAP Jalin Kerjasama Dengan DIU

Dhaka - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengembangkan jaringan antarabangsanya apabila mengikat kerjasama dengan Universiti Antarabangsa Daffodil (DIU), antara universiti terkemuka di Bangladesh di sini malam tadi.

Kedua-dua universiti itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang antara lain bagi melaksanakan kerjasama dalam bidang penyelidikan, konsultasi, pertukaran kepakaran dan intelektual.

UniMAP diwakili naib canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin manakala DIU diwakili naib canselornya, Prof Dr Yusuf Mahbubul Islam pada majlis yang berlangsung di Kelab Golf Kurmitola di sini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berangkat menyaksikan majlis menandatangani MoU itu dan hadir sama ialah Pengerusi DIU, Md Sabur Khan.

Dr Kamarudin berkata hubungan UniMAP dengan DIU telah lama terjalin melalui beberapa kegiatan bersama sebelum ini, dan MoU yang diadakan itu adalah bagi memperkukuhkan kerjasama berkenaan.

"MoU ini adalah yang pertama bagi UniMAP membabitkan pusat pengajian tinggi di Bangladesh," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata UniMAP meletakkan sasaran berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020 dan yakin ia boleh dicapai dengan momentum pencapaian sekarang.

Jumlah pelajar UniMAP juga berkembang bermula dengan 114 pelajar perintis pada 2002 dan kini meningkat kepada lebih 13,000 orang termasuk ratusan pelajar antarabangsa.

Antara pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian mereka di UniMAP termasuk 30 dari Bangladesh.